Inspirasi Penulisan
Hampir 10 tahun saya tidak menulis dengan sepenuh hati. Sedangkan sejak kecil saya sangat jatuh hati dengan bidang ini. Mungkin kerana hobi membaca pelbagai jenis buku sedari kecil. Pada awal usia 10 ke 12 tahun saya sudah menghabiskan pelbagai jenis novel. Dari karya popular hingga karya sastera oleh sasterawan negara. Bosan dengan novel di negara sendiri, saya mula membaca karya-karya dari negara barat. Bermula dengan terjemahan dan mula memberanikan diri dengan membaca dalam sepenuhnya bahasa Inggeris. Selain itu novel terjemahan dari negara Jepun juga mendapat tempat dalam diri saya. Saya jatuh hati dengan gaya bahasa mereka.
Apabila menjejak kaki ke sekolah menengah, saya mula jadi pengunjung tetap perpustakaan sekolah. Seingat saya, SMK Dato Abdul Rahman Yaakob, Bota agak kuat melekat memorinya dalam diri. mungkin kerana pengalaman membedah buku di perpustakaan di sekolah tersebut melebihi sekolah lain yang saya pernah hadir. Sebagai sebuah sekolah primer, perpustakaan sekolah ini dipenuhi buku-buku "tua". sarat dengan falsafah. Disinilah bermulanya perkenalan pertama yang membuatkan saya melekat dengan karya-karya Allahyarham Arena Wati. Buku pertama beliau yang saya baca ialah Mevrouw Toga. Mengangkat watak seorang wanita bangsawan dan jatuh ke taraf hidup miskin akibat perang. Tema ini mengubah pandang status wanita di pandangan mata saya sendiri. Saya akan tulis mengenai buku ini dalam post lain.
Karya beliau yang kedua saya baca ialah Panrita. Jika Mevrouw Toga membuatkan saya melekat, Panrita membuatkan saya semakin jatuh cinta dan rindu pada hasil tulisan beliau. Sarat dengan persoalan ketuhanan dan juga perjalanan kerohanian. Kembara jiwa dalam buku ini menjentik satu sisi lain dalam hidup saya yang ketika itu tercari-cari makna kehidupan dan perjuangan.
Kedua-dua buku ini saya baca pada usia 14 tahun. Saya sangat ingat momen ini kerana ia antara titik dalam perjalanan kehidupan saya selepas itu. Ia sangat mempengaruhi cara pandang dalam kehidupan dan mula mempersoalkan lebih banyak topik dan isu dalam kehidupan. Persoalan-persoalan berat mula menjengah dalam pemikiran. Adakalanya persoalan ini menjadi isu antara saya dengan ustaz/ustazah. Pernah ditegur supaya jangan memberi soalan dalam kelas kerana tidak mahu rakan-rakan sekelas saya menurut jejak memikir soalan yang saya lontarkan. Jadi selepas itu, perbincangan persoalan saya dengan guru biasanya diluar waktu kelas.
Sungguh, sebahagian diri saya 'hilang' apabila mula menginjak dewasa. Apabila mula menyambung pelajaran dalam bidang Sains Kesihatan Persekitaran, saya lebih banyak menelaah buku sains. Satu sisi lain diri saya ialah saya juga suka dengan bidang sains. Mikrobiologi, Kawalan Penyakit Berjangkit dan Kimia adalah topik yang yang agak saya kuasai ketika itu. walau bagaimanapun, sisi seni dan sastera mengimbangi diri saya supaya menjadi lebih insan. Sains dan sastera adalah gabungan yang menarik pada jiwa.
Namun, kegilaan menarah sisi seni itu semakin pudar. Sibuk dengan tugasan dan rutin kerja mula menjadi racun dalam diri. Walaupun saya minat dengan sains kesihatan persekitaran. namun untuk jadikan ianya kerjaya bukan satu pilihan. Saya mula sakit. Stress mula menyerang. Saya tidak 'enjoy' dengan kehidupan kerjaya ini. Walaupun hampir 90 peratus norma kerjaya ini sangat dekat dengan personaliti saya.
Dalam tempoh waktu ini, saya direzekikan dengan buku Sakura Mengorak Kelopak. Sekali lagi ia memaksa jiwa saya ke daerah yang lebih dalam. Isu pembangunan bangsa, dan isu budaya Jepun agak sarat dalam ini.
Selain itu, dua buah buku beliau yang saya ada ialah, Sebuah Trilogi Tiga Genre; Antara Manusia, Kepala Bapak Itu, Samira. dan Kutukan Dari Langit.
Saya abadikan satu posting khusus ini sebagai penghargaan buat Allahyarham Arena Wati. Al Fatihah buat beliau. Saya masih lagi dalam misi mengumpul karya hasil tulisan beliau. Semoga ada rezeki saya nanti. Aamiin ya robal alamin.
Blog ini asalnya saya ingin menulis mengenai perjalanan saya sebagai Si Tukang Urut. Medan berkongsi pengalaman dan ilmu. Namun, saya kira ini adalah medan terbaik untuk saya bermula menulis kembali. Maka jadilah ialah My Journey. Touch & Thought.


Ulasan
Catat Ulasan