Tentang Saya
Assalamualaikum wbh
Salam kenal buat semua. Mungkin ada yang mengenali saya, mungkin juga kurang pasti siapa saya. 10 tahun dulu, saya memperkenalkan diri dengan Seri. Namun, ada juga yang mengenali saya dengan nama Ratna. Seri urut, Ratna urut. Biasanya begitulah nama yang orang gelar. mungkin atas faktor nama akaun FB saya ketika itu menggunakan nama Dang Ratna Seridewi. Pada waktu itu juga, saya mencari pelanggan menggunakan saluran FB. Sebenarnya, banyak kali juga saya beritahu nama sebenar, tapi lebih ramai yang ingat nama FB saya. Nama yang unik, dan kadangkala membuatkan ramai orang musykil, adakah saya orang Malaysia atau dari negara seberang.
Adapun, bercakap soal nama FB saya, sebenarnya ialah gelaran anugerah dari pertubuhan silat yang saya ceburi. Menjawab persoalan ramai pelanggan saya, ya selain bidang urut tradisi ini, saya juga merupakan seorang Jurulatih Silat. Dua bidang ini merupakan bidang yang sangat dekat dengan peribadi, jiwa dan fikiran saya. Falsafah yang ada dalam dua bidang ini menuntut saya terjun dekat dengan masyarakat dan juga menyelusuri lebih dalam jalan kerohanian dan ketuhanan.
Alhamdulillah, terjun dalam bidang ini selama hampir sedekad membuatkan saya terfikir alangkah baiknya pelanggan mengenali saya dengan nama sebenar😏. Lebih valid, lebih dipercayai gitu. Bermula dengan nama FB dan beberapa account media sosial lain, saya sudah mula tukar kepada nama sebenar saya. Jadi, inilah saya, Zuraidah Zainudin😇. Ibu kepada 4 orang permata hati. 2 putera, 2 puteri.
Urut sebenarnya tidak asing dengan diri saya. Berulang alik dari Kamunting ke Bagan Serai pada waktu kecil dan berjumpa atok sedara saya merupakan seorang tukang urut.Sejak kecil saya sempat diasuh secara tidak langsung kaedah mencari urat dan mata urat. Selepas tamat tingkatan 5, saya pula belajar mengurut dengan seorang tukang urut kampung di Perak. selepas menghabiskan pelajaran peringkat Diploma Kesihatan Persekitaran, direzekikan belajar kaedah Perubatan Alternatif ASMMA - dan juga ilmu persilatan aliran Gayong Ma'arifat.
Sejak 2009 sehingga kini (2020), saya menetap di Batu 18, Jalan Lama Bentong - KL. Sejak 2010, saya sudah mula mengambil pelanggan di sekitar Janda Baik, Bukit Tinggi, Genting, Bentong dan Karak. Pernah juga sehingga ke Raub dan Kuala Lipis, namun atas faktor perjalanan yang jauh dan juga faktor komitmen ke atas ahli keluarga yang semakin bertambah saya cuma fokus pada kawasan dalam daerah Bentong sahaja.
Inilah serba sedikit tentang diri saya.

Ulasan
Catat Ulasan